Tuesday, 5 November 2013

Salam Maal Hijrah....

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1435, tahun baru Masihi pada hari Selasa, 5 November 2013 dan 1434 hijrah akan meninggalkan kita, banyak kenangan yang akan kita semua tinggalkan
doa akhir tahun hijrah bacaan doa akhir awal tahun hijrah dan amalan sunat
Baca Doa Akhir Tahun ini sebanyak 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah
Alhamdulilah kerana kita masih diberi peluang untuk bernafas dan menikmati nikmat-nikmat dari MAHA PENCIPTA SEKALIAN ALAM
Apakah azam kita pada tahun baru ini? Barangkali ada yang terlupa untuk menyambut tahun baru hijrah kerana terleka dengan kehidupan yang sementara ini
Apapun marilah sama-sama kita ingat mengingati kepada perkara yang membawa kepada sesuatu yang baik
doa awal tahun hijrah bacaan doa akhir awal tahun hijrah dan amalan sunat
Baca Doa Awal Tahun ini sebanyak 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram
PENGERTIAN AWAL MUHARRAM
MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah)
Sebelum rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi
Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri
Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah
Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91)
Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan
PERISTIWA-PERISTIWA PENTING
  • 1 Muharam – Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah
  • 10 Muharam – Dinamakan juga hari ‘Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran
Pada 10 Muharam juga telah berlaku
  • Nabi Adam bertaubat kepada Allah
  • Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit
  • Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan
  • Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa
  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
  • Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah
  • Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya
  • Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam
  • Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun
  • Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah
  • Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar
  • Hari pertama Allah menciptakan alam
  • Hari Pertama Allah menurunkan rahmat
  • Hari pertama Allah menurunkan hujan
  • Allah menjadikan ‘Arasy
  • Allah menjadikan Luh Mahfuz
  • Allah menjadikan alam
  • Allah menjadikan Malaikat Jibril
  • Nabi Isa diangkat ke langit
AMALAN-AMALAN SUNAT
Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam
Berpuasa
Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun
  • Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
  • Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
  • Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali
Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram)
  • Melapangkan masa/belanja anak isteri : Fadilatnya – Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini
  • Memuliakan fakir miskin : Fadilatnya – Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
  • Menahan marah : Fadilatnya – Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha
  • Menunjukkan orang sesat : Fadilatnya – Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
  • Menyapu/mengusap kepala anak yatim : Fadilatnya – Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya
  • Bersedekah : Fadilatnya – Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini
  • Memelihara kehormatan diri : Fadilatnya – Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan
  • Mandi Sunat : Fadilatnya – Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: “Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala”
  • Bercelak : Fadilatnya – Tidak akan sakit mata pada tahun itu
  • Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali : Fadilatnya – Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti
  • Sembahyang sunat empat rakaat : Fadilatnya – Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: “Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala”
*Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali
  • Menjamu orang berbuka puasa : Fadhilat – Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa
  • Puasa (Niat)  “Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala “  : Fadilat – Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka


My Sumber - http://www.mysumber.com/berita/bacaan-doa-akhir-awal-tahun-hijrah-dan-amalan-sunat#ixzz2pVad5qvt

Sunday, 15 September 2013

Salam Aidil Adha....

Erti Sebuah Pengorbanan

سم الله الرحمن الرحيم



Setelah setahun ia meninggalkan kita, maka tirai Aidiladha akhirnya muncul semula. Dengan tarikh yang sama yakni 10 Zulhijjah pada tiap-tiap tahun Hijrah, cuma hari dan juga pengalaman sahaja yang akan menjadi berlainan pada setiap tahun. InsyaAllah pada hari Ahad ini, umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut salah satu hari yang paling besar, keberkatannya sebenar lebih besar daripada Aidilfitri, nak tau ape hari tu?? sudah semestinya Hari Raya Aidiladha!

Alhamdulillah, semoga kita dapat bertemu kembali dengan hari yang penuh dengan makna sejarah dan pengorbanan ini...

Seperti yang kita sedia maklum, kedatangan Aidiladha ini bukanlah disengajakan, lebih-lebih lagi menyimpang daripada kebetulan semata-mata, sebab ia mempunyai peristiwa sejarah pengorbanan yang teramat penting dalam sejarah Islam. Selalunya apabila dikatakan tentang Aidiladha, mesti ia sinonim dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan juga anaknya Nabi Ismail a.s. Betul tak?? Tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu, kerana Aidiladha ini merupakan gambaran simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang Nabi kepada Tuhannya, seorang ayah kepada anaknya, seorang suami kepada isterinya dan juga seorang ibu kepada anaknya.

Peristiwa yang pertama kita dapat lihat adalah apabila Nabi Ibrahim a.s. diperintahkan oleh Allah S.W.T agar meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. di padang pasir yang tandus. Dan dari situ Siti Hajar terpaksa berlari dari gunung Safa ke Marwah untuk mendapatkan bekalan air untuk anaknya Ismail yang kehausan, dan dengan mukjizat daripada Allah, akhirnya Nabi Ismail a.s. menghentakkan kakinya ke tanah dan terhasilnya air zam-zam. Padang pasir yang tandus itu juga telah menjadi tumpuan buat umat Islam zaman sekarang untuk menunaikan haji yakni Makkatul Mukarramah atau nama dahulunya Bakkah.

Peristiwa kedua ni pulak sudah biasa kita dengar, tetapi ia amat penting dalam sejarah kerana bermulanya ibadah korban bagi umat Islam, yakni ujian Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. kepada agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Tanpa ragu-ragu lagi Nabi Ibrahim menyahut seruan Allah walaupun masyarakat pada waktu itu mengatakan bahawa baginda gila. Dengan rahmat Allah yang Maha Kuasa, maka akhirnya Allah gantikan anaknya dengan kibash untuk dijadikan sembelihan. Ya Allah, kalau aku yang diberi ujian sebegitu pun aku tak sanggup melakukannya. Sungguhlah benar bahawa Allah tahu setiap perkara yang dilakukanNya.

Nabi Ismail a.s. berkata: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'' (Ash-Shafaat:102)

Kita perlu tahu dan sedar bahawa erti sebuah pengorbanan pada hari Aidiladha bukanlah hanya sekadar sembelih lembu ataupun dapat mengerjakan haji di Baitullah sahaja. Banyak lagi yang kita dapat ambil iktibar lebih-lebih lagi daripada peristiwa yang aku ceritakan sebentar tadi. Dalam setiap pengorbanan itu perlulah ada usaha, doa dan tawakal. Dalam setiap pengorbanan itu memerlukan kecekalan dari segi mental dan fizikal. Dan dalam setiap pengorbanan itu juga tiada kenal erti putus asa dalam kamus hidupnya. Apabila kita melakukan suatu pengorbanan tidak kiralah untuk diri sendiri, keluarga, pakwe awek, ataupun sesiapa, kita haruslah terima segala keputusannya dengan tabah.

Lagi satu perkara, macam yang aku cakap pada awal artikel aku tadi, pengertian sambutan Aidiladha ini adalah lebih bermakna daripada sambutan Aidilfitri. Tetapi yang kita boleh nampak kita terlalu ghairah dalam persiapan sambutan Aidilfitri tetapi untuk Aidiladha nih buat rilek2 je, macam tak ada apa-apa yang berlaku langsung.


Kita sebenarnya tersilap kerana melebihkan Aidilfitri daripada Aidiladha. Cuba kita lihat perbandingannya:

Pertama: Kita dituntut bertakbir membesarkan Allah hanya dalam lingkungan 12-14 jam sahaja pada hari Raya Aidilfitri sedangkan tempoh takbir Hari Raya Korban ialah 4 hari lamanya.

Kedua: Kita diharamkan berpuasa 1 hari sahaja (1 Syawal) pada Aidilfiri tetapi kita diharamkan berpuasa selama 4 hari lamanya (10 Zulhijjah dan 3 Hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah) pada hari raya Korban.


“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah s.w.t. pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah s.w.t. sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Oleh itu, kepada semua pembaca yang aku amat hargai sekalian, jadikanlah Aidiladha pada tahun ini sebagai titik permulaan untuk kita mengambil iktibar dan keberkatan daripada Allah s.w.t. Semoga kita semua dapat menikmati apa yang dinamakan erti sebuah pengorbanan...


Mudah-mudahan Aidiladha kali ini akan memberikan kita satu dimensi baru akan maksud serta pengertian kita terhadap apa yang dikatakan sebagai KORBAN dan PENGORBANAN.

Tidak ramai diantara kita yang benar-benar sanggup berkorban. (sangat subjektif ayat ini..)

Dan sangat ramai juga di antara kita yang berdetik-detik atau berkata-kata di dalam hati apabila berhadapan dengan situasi atau suasana atau keadaan yang menuntut kita melakukan pengorbanan... sedang kita amat lupa bahawa kehidupan kita di muka bumi ini adalah merupakan satu perlaksanaan ibadah secara total yang sewajibnya di akhir nafas nanti kita akan terkorban dalam pengorbanan.

Jika kita mampu mangaku bahawa kehidupan kita di dunia ini adalah merupakan satu jihad... maka kita sebenarnya sudah hampir memahami istilah serta maksud pengorbanan yang sebenar..

Para sahabat Rasulullah yang kita sering ikuti atau terdengar atau didendangkan kisah mereka adalah merupakan contoh-contoh yang boleh kita lihat akan tahap pengorbanan mereka tidak lain tidak bukan hanya kepada Rasul & Allah semata-mata..

Apabila kita mengatakan Rasul & Allah maka kita sebenarnya telah bersaksi akan kesanggupan kita berkorban dalam segenap segi di dalam agama kita..

Ayat 'Amal Maaruf Nahi Mungkar' juga adalah merupakan satu syiar atau seruan jihad di mana semua umat islam yang bersaksi kepada Allah & Rasul telah berjanji sepenuh hati untuk berjuang dan berkorban di atas jalan lurus sebagaimana yang kita diwajibkan membaca surah Al-Fatihah di dalam solat kita...

Maka mereka-mereka yang berjuang di jalan Allah adalah mereka-mereka yang berjihad dan syurgalah tempat kekal abadi buat mereka..

"Peperangan di akhir zaman nanti adalah peperangan melawan hawa nafsu..."

Sabda Rasulullah tersebut juga turut membawa erti pengorbanan dalam maksud yang tersirat.. di mana kita sedaya-upaya berusaha bersungguh-sungguh @ berjihad untuk memerangi hawa nafsu (jahat) yang sering kita biarkan terpengaruh dengan hasutan syaitan.. dan dalam perjuangan jihad melawan hawa nafsu inilah kita perlu berkorban.. korban wang ringgit, korban masa kesukaan kita, korban perasaan dan sebagainya...

maka di penghujung jihad kita dalam memerangi hawa nafsu ini.. dengan segenap pengorbanan lalu berjaya menumpas dan berjaya mengawalnya.... maka sambutlah kemenangan jihad serta pengorbanan kita ini dengan berita gembira, lalu lakukanlah solat taubat, sujud syukur dan berhiaslah cantik sekadar mampu lalu melangkah ke masjid bersama-sama saudara se islam bertasbih, bertahmid dan bertakbir untuk meraikan kemenangan ini...

dipetik oleh :  http://dirihamba.blogspot.com/2011/11/erti-sebuah-pengorbanan.html

Wednesday, 28 August 2013

KUBUR DALAM SEKOLAH

Sekolah puan ada kubur?..   

"sekolah kami ada replika kubur untuk memudahkan žguru dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan"


Dalam sukatan Pelajaran Pendidikan Islam terdapat tajuk
yang berkaitan dengan kubur, iaitu adab menziarahi kubur, 
perkara fardu ain dan fardu kifayah.





MAJLIS PECAH TANAH

SURAU KAMI

Apa ada dalam surau kami.....


masa seluruh negara.. 


PERIGI TOHARAH


macam pelik je kan tajuk post admin pada kali ini..  PERIGI TOHARAH  ...
  apa dia?     
apa tu? 

semua persoalan mula bermain di minda para pembaca blog surau nur ihsan..


 PERIGI TOHARAH   ialah sebuah perigi tadahan hujan untuk kemudahan semua pihak. dengan adanya perigi toharah kita dapat mengimbau kembali detik-detik suasana penggunaan perigi secara trsdisional.


Berwuduk dengan mengguna air paip atau salur air adalah perkara biasa di era kini bahkan dimasjid-masjid atau musolla ada menyediakan kolam luas ( melebihi dua kolah ) untuk kemudahan wuduk yang kondusif.



KENTONG

Kentong ?? macam tak pernah dengar kan...

menurut kamus dewan KENTONG  bermaksud  Buluh atau kayu berongga yang dijadikan alat bunyian (dipalu untuk menyatakan waktu atau menyampaikan sesuatu alamat)



Kentong dipalu untuk memberitahu telah masuk waktu solat


FUNGSI KENTONG DI SURAU NUR IHSAN
  • Kentong Surau Nur Ihsan akan   dibunyikan ketika masuk waktu solat Zohor, setiap hari persekolahan.
  • Kentong dibunyikan sebelum bilal melaungkan azan.

Kami sudah berwajah baru

Menjelang pertengahan 2013, surau Nur Ihsan sudah berubah wajah. Ruang yang dulunya boleh memuatkan 100 orang, tapi kini sudah ............

Monday, 5 August 2013

Syawal Yang Bakal Tiba.......

PERSIAPAN MENYAMBUT SYAWAL


Sekarang kita telah pun memasuki hari-hari terakhir bulan Ramadan. Ini bererti umat Islam hanya beberapa hari saja lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam khususnya bagi orang-orang yang berpuasa, tetapi pada masa yang sama hati kita turut merasa sedih untuk meninggalkan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini kerana kita belum pasti lagi akan dapat berjumpa bulan Ramadan yang akan datang kecuali jika diizinkan dan dipanjangkan umur oleh Allah Subhanahu waTa'ala.

Sebagaimana kelazimannya apabila saja hampir tiba Hari Raya Aidilfitri maka kebanyakan di antara kita akan sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya seperti menyediakan keperluan rumah, menyediakan pakaian, menyediakan makanan dan minuman dan bermacam-macam lagi persediaan, semuanya itu demi meraikan Aidilfitri yang mulia. Tetapi apa yang perlu kita ingat walau macam manapun kesibukan kita, janganlah kita lupa dan lalai kewajipan terhadap Allah Subhanahu waTa'ala khususnya di akhir-akhir bulan Ramadan ini iaitu membayar zakat fitrah kerana ia merupakan satu kewajipan dan pelengkap ibadat puasa serta penampal atau penutup kecacatan-kecacatan yang berlaku ke atas ibadat puasa yang kita lakukan.

Sebenarnya ugama Islam adalah ugama yang mudah dan tidak mahu umatnya hidup susah kerana itu kita dinasihatkan supaya hidup sentiasa bersederhana, tidak berlebih-lebihan dan membazir, contohnya dalam menyambut Hari Raya Al-Mubarak ini, sambutlah secara sederhana dan berhemah, jangan terlalu ikut hati sehingga berbelanja lebih dari kemampuan dan menyusahkan diri, jangan jadikan sambutan Hari Raya Aidifitri untuk bermegah-megah dan bermewah-mewah sehingga berlaku pembaziran dan menjadikan kita bersifat riyak. Biarlah kita menjadi umat yang sederhana yang tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam semua hal. Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Al Israa' ayat 26 - 27:


وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًاإِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا


Tafsirnya: "….Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".
Perlulah kita fahami bahawa tujuan utama Hari Raya Aidilfitri adalah untuk meraikan kejayaan hamba-hamba Allah yang telah melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan, kerana itu sambutan yang dilakukan juga biarlah atas landasan ugama dan tetap menjadi ibadah. Bagi mencapai maksud tersebut ugama Islam memberikan kita bimbingan dan panduan cara sambutan yang betul untuk diikuti dan dipraktikkan, antaranya ialah :
Pada Malam Hari Raya Pertama kita disunatkan menghidupkan malam tersebut dengan laungan takbir dan terus menghidupkannya dengan bacaan Al-Qur'an, berzikir, berdoa dan sebagainya. Bukan meraikan malam tersebut dengan perkara-perkara yang membahayakan dan memudaratkan apatah lagi perkara yang mengganggu ketenteraman orang lain dan elakkan membuat persiapan di saat-saat akhir sehingga larut malam menyebabkan ada yang tidak sempat menunaikan Sembahyang Fardu Subuh dan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri kerana tidak terjaga dan keletihan.

Pada pagi Hari Raya pula, kita disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukannya mandi seperti hari-hari biasa, kita juga disunatkan memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Sebelum ke masjid untuk bersembahyang Hari Raya pula, kita disunatkan memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil, inilah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam sebelum ke masjid untuk bersembahyang Hari Raya.

Bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, sudah setentunya amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi kaum keluarga, sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat handai semata-mata untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri ini, elakkanlah keraian ini dari dicemari dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara’ dan berdosa, antaranya bersalaman dengan bukan muhrim, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menghidangkan benda-benda haram dan sebagainya. Perbuatan sedemikian tidak mendatangkan berkat, tetapi akan mencemarkan erti sebenar kedatangan Hari Raya Aidilfitri itu, di samping mendatangkan dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah Subhanahu waTa'ala.

Akhirnya marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang ini dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh ugama Islam. Mudah-mudahan ibadat puasa Ramadan dan segala amal ibadat yang kita kerjakan selama ini diterima oleh Allah Subhanahu waTa'ala dan mendapat rahmat dan keberkatan serta keampunan dari Allah Subhanahu waTa'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Ali'Imran ayat 133:


وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ


Tafsirnya: "Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa".

Dipetik daripada :  http://unitceramah.blogspot.com/2012/08/persiapan-menyambut-syawal.html 

Thursday, 25 July 2013

Mencari Lailatul Qadar.....

Lailatul Qadar : Lebih Baik Dari Seribu Malam


Lailatul Qadar merupakan bulan yang sangat-sangat istimewa yang hanya berlaku di bulan Ramadhan. Ia dikurniakan sebagai rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita. Ia merupakan malam yang terbaik hinggakan kebaikkannya jauh lebih baik dibandingkan jangkamasa seribu bulan; iaitu 83 tahun 4 bulan, hal ini telah tsabit sebagaimana  firman Allah Subhanahu wa Ta’ala  dalam Surah al-Qadr ayat 1-5 :
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)  
Tafsirnya:
1-      Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.
2-      Dan apakah engkau dapat mengetahui  apa dia kebesaran malam al-Qadr itu?
3-      Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.
4-      Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan.
5-      Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman bahawa Dia menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang dipenuhi dengan keberkatan, kemuliaan dan kesejahteraan. Allah Subhanau wa Ta’ala berfirman dalam surah ad-Dukhan ayat 3, tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada suatu malam yang diberkati.”, iaitu malam yang penuh dengan keberkatan. Dan malam itu berada di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.” ( Al-Baqarah: 185).
Ia juga merupakan satu malam yang istimewa yang dianugerahkan oleh Allah Subhanu wa Ta’ala khas untuk umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi memuliakan mereka, yang mana pemberian ini tidak pernah berlaku kepada umat-umat sebelumnya.

Sebab turun surah.
Sebab diturunkan ayat:
  1. Diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi, al-Hakim, Ibn Jarir daripada al-Hasan Ibn ‘Ali bahawa malam al-Qadr adalah lebih baika dari seribu bulan. Turunnya surah ini adalah disebabkan buruknya pemerintahan Bani Umayyah yang berlarutan selama seribu bulan. Namun begitu kedudukan hadits ini adalah gharib dan ditolak.
  2. Abu Hatim, al-Wahidi dari Mujahid meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam telah menceritakan kisah seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah memakai alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah selama seribu bulan, maka orang Islam pun terpegun serta kagum dengan cerita tersebut lalu  Allah menurunkan surah al-Qadr.
  3. Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasullullah bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat amat gembira.
Daripada riwayat yang tersebut di atas itu, dapatlah kita ketahui bagaimana besar dan istimewanya orang yang melakukan ibadah pada malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang jauh lebih baik daripada beramal 1000 bulan.

Tanda-tanda Lailatul Qadar
عن ابن عباس ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في ليلة القدر: « ليلة سمحة طلقة لا حارة ولا باردة يصبح شمسها صبيحتها ضعيفة حمراء »

Maksudnya: Dari Ibnu Abbas, Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda, “Lailatul Qadar adalah malam yang penuh nyaman dan ketanangan, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang samar-samar.” (Riwayat al-Baihaqi: 3536 dan Abu Daud al-Thayalisi: 2793) – dinyatakan Shahih oleh al-Albani

عن جابر ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « إني كنت أريت ليلة القدر ، ثم نسيتها ، وهي في العشر الأواخر ، وهي طلقة بلجة لا حارة ولا باردة ، كأن فيها قمرا يفضح كواكبها لا يخرج شيطانها حتى يخرج فجرها »

Maksudnya: Dari Jabir berkata: Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku Lailatul Qadar, kemudian aku terlupakan darinya. Ia terjadi pada sepuluh malam yang terakhir. Ia adalah malam yang tenang, nyaman, tidak panas dan tidak dingin, seakan-akan ada bulan yang menyinari bintang-bintang, setan pada malam itu tidak akan keluar sampai waktu fajar tiba.” (Riwayat Ibn Hibban: 3758)

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, sehingga kelebihan lailatul qadar itu tetap diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengerjakan amal ibadat sekalipun amalan yang dikerjakannya itu hanya sedikit. Oleh kerana keikhlasannya terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka pahala dan kelebihan itu tetap diperolehinya.

Beramal hanya kerana Allah semata-mata di malam hari itu haruslah juga diteruskan di siang hari. Jadikanlah siang dan malam itu sebagai masa yang diamanahkan untuk beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ibadat yang berterusan ini amamt memberi kesan yang nyata pada jiwa dan raga umat Islam jika diamalkan kuhususnya pada sepuluh yang akhir dalam bulan Ramadhan sama ada siang atau malamnya. Mudah-mudahan dengan adanya usaha yang gigih untuk mencapai matlamat memperolehi kelebihan lailatul qadar itu akan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Bagi sesiapa yang tidak berdaya untuk mengerjakan amal ibadat yang banyak maka hendaklah ia beramal dan beribadat sekadar yang mampu dalam usaha mencari malam lailatul qadar. Janganlah dibiarkan malam itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk merebut peluang yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صلَّى العشاءَ في جماعةٍ فكأَنَّمـَا قامَ نِصْفَ اللَّيْلِ ، ومَنْ صلَّى الصُّبْحَ في جماعةٍ فكأنَّمـَا صلَّى اللَّيْلَ كُلُّهُ.
                                                                                      (رواه الإمام مسلم)
Maksudny: ”Sesiapa yang bersembahyang Isyak dengan berjemaah, maka seolah-olah ia telah berdiri (bersembahyang) sebahagian malam. Dan sesiapa yang bersembahyang subuh dengan berjemaah, maka seolah-olah ia berdiri (bersembahyang) sepanjang malam.”
                                                                                                                                                (Riwayat al-Imam Muslim)

Dipetik daripada :  http://unitceramah.blogspot.com/2011/08/lailatul-qadar-lebih-baik-dari-seribu.html

Wednesday, 10 July 2013

Ahlan Ya Ramadan

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!




Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

Allah Ta'ala berfirman : "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Jika sekiranya dikelamkan kepada kamu (berlaku cuaca buruk) maka sempurnakanlah bulan Syaaban itu 30 hari."

Ramadhan datang dan pergi. Sedar tak sedar kini Ramadhan akan muncul tidak berapa detik lagi. Kita yang masih diberi nafas dan kesempatan oleh Allah Taala, haruslah berbanyak memanjatkan syukur di atas anugerah Allah ini. Berdoalah kita agar kita dipanjangkan usia oleh Allah agar dapat bertemu dengan Ramadhan yang mendatang. Walaupunj Ramadhan sudah begitu menghampiri kita, namun ketentuan ajal bakal boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja, setiap detik dan ketika.

Lihat, hitung dan renunglah berapa ramai saudara mara, rakan taulan kita yang sudah pergi meninggalkan kita. Sedangkan Ramadhan yang lalu kita masih sempat bergurau senda dan bertegur sapa dengan mereka. Kini Ramadhan datang tanpa mereka yang sudah pergi mengadap Allah yang Esa.. Saya sendiri kehilangan dua ayah saudara dan seorang ibu saudara. Inilah ketentuannya, janganlah kita sombong dan angkuh hidup di dunia. Sampai masanya bila kita dijemput mengadap Allah, maka segala apa di dunia sudah tidak berguna lagi.

Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk kita melakukan anjakan paradigma ke arah perubahan diri. Ramadhanlah waktu terbaik untuk kita bertekad menjadi hamba Allah yang sebenar-benar bertakwa. Ramadhanlah waktu yang terbaik untuk kita muhasabah diri tentang sepanjang perjalanan hidup kita. Walaupun kesemua perkara boleh kita lakukan sepanjang masa, namun roh dan keberkatan Ramadhan bias menjelmakan sesuatu dalam diri kita.

Pada saat bulan Ramadhan inilah kita dapat melihat surau-surau dan masjid-masjid dilimpahi oleh para jemaah pada waktu Isya’ dan seterusnya menunaikan Solat Tarawih. Inilah kesempatan yang terbaik untuk kita mendekatkan diri dengan rumah Allah. Inilah kesempatan yang terbaik untuk kita beribadah di rumah Allah.
Janganlah pula, suasana ini hanya menjelma setiap kali bulan Ramadhan sahaja . Ia bagaikan suatu ibadah bermusim. Biarpun ramai tok guru, ustaz atau orang ramai sering memperkatakan bahawa masyarakat kita ini sememangnya beribadah mengikut musim. Awal Ramadhan penuh, pertengahan Ramadhan semakin berkurangan dan akhirnya selepas Ramadhan- wal hasil balik asal. Yang tinggal hanya jemaah yang dulu juga. Inilah cabarannya. Berdoalah agar kita terus diberi kekuatan dan hidayah untuk beribadah berpanjangan pada Allah. Dan berdoalah agar kita bukanlah dari golongan yang melakukan ibadah bermusim.

Alasan sibuk bukan sesuatu yang boleh diterima. Kalau di bulan Ramadhan boleh pula kita menjengah surau atau mesjid untuk berjemaah Isya’ dan bertarawih, mengapa tidak selepas Ramadhan. Pucuk pangkalnya ialah hati. Jika hati menyematkan azam akan terus berjemaah walaupun selepas Ramadhan, maka Insyallah Allah akan sentiasa memberi hidayah dan membuka pintu hati kita ke arah tujuan tersebut. Jika selepas Ramadhan kita memberi alasan sibuk, ternyata hati kita telah tewas kepada tuntutan nafsu dan bisikan syaitan laknatullah. Maka Ramadhan yang kita lalui tidak dapat menjadi benteng melindungi hati dan jiwa kita.

Sama-sama kita memanjatkan doa agar kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah Ta’ala.

Thursday, 6 June 2013

Israk Mikraj

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W.


Israk Mikraj

Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah saw. Antaranya kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga peristiwa penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda saw. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah swt kepada kekasih-Nya.

Ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj 

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa) 

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: 
  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. 
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.   
  3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. 

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang2. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. 
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).  
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka. 
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami. 
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba. 
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. 
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali2. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. 
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. 
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. 
  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. 
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia2kan umurnya sampai ke tua. 
  • Seorang perempuan bongkok 3 menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian Baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat 2 rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah SAW terasa dahaga lalu dibawa Jibrail 2 bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj (Naik ke Hadratul-Qudus Menemui Allah SWT) 

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 

Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang2 yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan. 
Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.
Langit Ke-3: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS. 

Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS. 

Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil. 

Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi2. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. 

Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu denan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah 5 kalimah, iaitu Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar dan Wa La Haula  Wa La Quwwata Illa Billahil - 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 

Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi pemata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta Malik penunggunya. 

Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Baginda dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur' Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata2 dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik2 umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan 7 ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat2 di akhir surah al-Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji2 Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji2mu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas 9 kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya Baginda turun ke Baitul-Maqdis lalu menunggang Buraq ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira2 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

Dipetik daripada : http://ibuberbicara.blogspot.com/2013/06/peristiwa-israk-mikraj-nabi-muhammad-saw.html#ixzz2pVHB4UPa