Thursday, 25 July 2013

Mencari Lailatul Qadar.....

Lailatul Qadar : Lebih Baik Dari Seribu Malam


Lailatul Qadar merupakan bulan yang sangat-sangat istimewa yang hanya berlaku di bulan Ramadhan. Ia dikurniakan sebagai rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita. Ia merupakan malam yang terbaik hinggakan kebaikkannya jauh lebih baik dibandingkan jangkamasa seribu bulan; iaitu 83 tahun 4 bulan, hal ini telah tsabit sebagaimana  firman Allah Subhanahu wa Ta’ala  dalam Surah al-Qadr ayat 1-5 :
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)  
Tafsirnya:
1-      Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.
2-      Dan apakah engkau dapat mengetahui  apa dia kebesaran malam al-Qadr itu?
3-      Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.
4-      Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan.
5-      Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman bahawa Dia menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang dipenuhi dengan keberkatan, kemuliaan dan kesejahteraan. Allah Subhanau wa Ta’ala berfirman dalam surah ad-Dukhan ayat 3, tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada suatu malam yang diberkati.”, iaitu malam yang penuh dengan keberkatan. Dan malam itu berada di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.” ( Al-Baqarah: 185).
Ia juga merupakan satu malam yang istimewa yang dianugerahkan oleh Allah Subhanu wa Ta’ala khas untuk umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi memuliakan mereka, yang mana pemberian ini tidak pernah berlaku kepada umat-umat sebelumnya.

Sebab turun surah.
Sebab diturunkan ayat:
  1. Diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi, al-Hakim, Ibn Jarir daripada al-Hasan Ibn ‘Ali bahawa malam al-Qadr adalah lebih baika dari seribu bulan. Turunnya surah ini adalah disebabkan buruknya pemerintahan Bani Umayyah yang berlarutan selama seribu bulan. Namun begitu kedudukan hadits ini adalah gharib dan ditolak.
  2. Abu Hatim, al-Wahidi dari Mujahid meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam telah menceritakan kisah seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah memakai alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah selama seribu bulan, maka orang Islam pun terpegun serta kagum dengan cerita tersebut lalu  Allah menurunkan surah al-Qadr.
  3. Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasullullah bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat amat gembira.
Daripada riwayat yang tersebut di atas itu, dapatlah kita ketahui bagaimana besar dan istimewanya orang yang melakukan ibadah pada malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang jauh lebih baik daripada beramal 1000 bulan.

Tanda-tanda Lailatul Qadar
عن ابن عباس ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في ليلة القدر: « ليلة سمحة طلقة لا حارة ولا باردة يصبح شمسها صبيحتها ضعيفة حمراء »

Maksudnya: Dari Ibnu Abbas, Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda, “Lailatul Qadar adalah malam yang penuh nyaman dan ketanangan, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang samar-samar.” (Riwayat al-Baihaqi: 3536 dan Abu Daud al-Thayalisi: 2793) – dinyatakan Shahih oleh al-Albani

عن جابر ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « إني كنت أريت ليلة القدر ، ثم نسيتها ، وهي في العشر الأواخر ، وهي طلقة بلجة لا حارة ولا باردة ، كأن فيها قمرا يفضح كواكبها لا يخرج شيطانها حتى يخرج فجرها »

Maksudnya: Dari Jabir berkata: Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku Lailatul Qadar, kemudian aku terlupakan darinya. Ia terjadi pada sepuluh malam yang terakhir. Ia adalah malam yang tenang, nyaman, tidak panas dan tidak dingin, seakan-akan ada bulan yang menyinari bintang-bintang, setan pada malam itu tidak akan keluar sampai waktu fajar tiba.” (Riwayat Ibn Hibban: 3758)

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, sehingga kelebihan lailatul qadar itu tetap diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengerjakan amal ibadat sekalipun amalan yang dikerjakannya itu hanya sedikit. Oleh kerana keikhlasannya terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka pahala dan kelebihan itu tetap diperolehinya.

Beramal hanya kerana Allah semata-mata di malam hari itu haruslah juga diteruskan di siang hari. Jadikanlah siang dan malam itu sebagai masa yang diamanahkan untuk beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ibadat yang berterusan ini amamt memberi kesan yang nyata pada jiwa dan raga umat Islam jika diamalkan kuhususnya pada sepuluh yang akhir dalam bulan Ramadhan sama ada siang atau malamnya. Mudah-mudahan dengan adanya usaha yang gigih untuk mencapai matlamat memperolehi kelebihan lailatul qadar itu akan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Bagi sesiapa yang tidak berdaya untuk mengerjakan amal ibadat yang banyak maka hendaklah ia beramal dan beribadat sekadar yang mampu dalam usaha mencari malam lailatul qadar. Janganlah dibiarkan malam itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk merebut peluang yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صلَّى العشاءَ في جماعةٍ فكأَنَّمـَا قامَ نِصْفَ اللَّيْلِ ، ومَنْ صلَّى الصُّبْحَ في جماعةٍ فكأنَّمـَا صلَّى اللَّيْلَ كُلُّهُ.
                                                                                      (رواه الإمام مسلم)
Maksudny: ”Sesiapa yang bersembahyang Isyak dengan berjemaah, maka seolah-olah ia telah berdiri (bersembahyang) sebahagian malam. Dan sesiapa yang bersembahyang subuh dengan berjemaah, maka seolah-olah ia berdiri (bersembahyang) sepanjang malam.”
                                                                                                                                                (Riwayat al-Imam Muslim)

Dipetik daripada :  http://unitceramah.blogspot.com/2011/08/lailatul-qadar-lebih-baik-dari-seribu.html

Wednesday, 10 July 2013

Ahlan Ya Ramadan

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!




Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

Allah Ta'ala berfirman : "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Jika sekiranya dikelamkan kepada kamu (berlaku cuaca buruk) maka sempurnakanlah bulan Syaaban itu 30 hari."

Ramadhan datang dan pergi. Sedar tak sedar kini Ramadhan akan muncul tidak berapa detik lagi. Kita yang masih diberi nafas dan kesempatan oleh Allah Taala, haruslah berbanyak memanjatkan syukur di atas anugerah Allah ini. Berdoalah kita agar kita dipanjangkan usia oleh Allah agar dapat bertemu dengan Ramadhan yang mendatang. Walaupunj Ramadhan sudah begitu menghampiri kita, namun ketentuan ajal bakal boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja, setiap detik dan ketika.

Lihat, hitung dan renunglah berapa ramai saudara mara, rakan taulan kita yang sudah pergi meninggalkan kita. Sedangkan Ramadhan yang lalu kita masih sempat bergurau senda dan bertegur sapa dengan mereka. Kini Ramadhan datang tanpa mereka yang sudah pergi mengadap Allah yang Esa.. Saya sendiri kehilangan dua ayah saudara dan seorang ibu saudara. Inilah ketentuannya, janganlah kita sombong dan angkuh hidup di dunia. Sampai masanya bila kita dijemput mengadap Allah, maka segala apa di dunia sudah tidak berguna lagi.

Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk kita melakukan anjakan paradigma ke arah perubahan diri. Ramadhanlah waktu terbaik untuk kita bertekad menjadi hamba Allah yang sebenar-benar bertakwa. Ramadhanlah waktu yang terbaik untuk kita muhasabah diri tentang sepanjang perjalanan hidup kita. Walaupun kesemua perkara boleh kita lakukan sepanjang masa, namun roh dan keberkatan Ramadhan bias menjelmakan sesuatu dalam diri kita.

Pada saat bulan Ramadhan inilah kita dapat melihat surau-surau dan masjid-masjid dilimpahi oleh para jemaah pada waktu Isya’ dan seterusnya menunaikan Solat Tarawih. Inilah kesempatan yang terbaik untuk kita mendekatkan diri dengan rumah Allah. Inilah kesempatan yang terbaik untuk kita beribadah di rumah Allah.
Janganlah pula, suasana ini hanya menjelma setiap kali bulan Ramadhan sahaja . Ia bagaikan suatu ibadah bermusim. Biarpun ramai tok guru, ustaz atau orang ramai sering memperkatakan bahawa masyarakat kita ini sememangnya beribadah mengikut musim. Awal Ramadhan penuh, pertengahan Ramadhan semakin berkurangan dan akhirnya selepas Ramadhan- wal hasil balik asal. Yang tinggal hanya jemaah yang dulu juga. Inilah cabarannya. Berdoalah agar kita terus diberi kekuatan dan hidayah untuk beribadah berpanjangan pada Allah. Dan berdoalah agar kita bukanlah dari golongan yang melakukan ibadah bermusim.

Alasan sibuk bukan sesuatu yang boleh diterima. Kalau di bulan Ramadhan boleh pula kita menjengah surau atau mesjid untuk berjemaah Isya’ dan bertarawih, mengapa tidak selepas Ramadhan. Pucuk pangkalnya ialah hati. Jika hati menyematkan azam akan terus berjemaah walaupun selepas Ramadhan, maka Insyallah Allah akan sentiasa memberi hidayah dan membuka pintu hati kita ke arah tujuan tersebut. Jika selepas Ramadhan kita memberi alasan sibuk, ternyata hati kita telah tewas kepada tuntutan nafsu dan bisikan syaitan laknatullah. Maka Ramadhan yang kita lalui tidak dapat menjadi benteng melindungi hati dan jiwa kita.

Sama-sama kita memanjatkan doa agar kita sentiasa beristiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah Ta’ala.